Sunday, 7 October 2012

Karangan “Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”


Tulis sebuah karangan tentang kepentingan peribahasa “Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”.

 

Pendahuluan            
 -  Berkait rapat dengan hidup bermasyarakat.

Isi                  
 -  Memudahkan pekerjaan
 -  Menghapuskan sikap individualistik
 -  Kemaslahatan bersama
 -  Mewujudkan masyarakat yang aman dan damai

Penutup         
 -  Hidup sejahtera

 

Contoh Jawapan

            “Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing” merupakan peribahasa yang menceritakan suasana hidup bermasyarakat. Peribahasa ini melambanngkan masyarakat yang sentiasa bekerjasama dalam segala amalan mereka.

            Amalan ini membolehkan tugasan yang berat akan menjadi ringan. Contohnya, sekiranya kita bergotong-royong semasa mengadakan majlis perkahwinan atau membersihkan kawasan kejiranan, kerja tersebut akan diselesaikan dengan cepat dan mudah.

            Amalan ini juga dapat menghapuskan sikap individualistik dalam diri individu. Sikap ini akan hilang kerana segala kerja tidak dilakukan secara bersendirian, sebaliknya secara kerjasama.

            Pegangan ini secara tidak langsung dapat mendidik masyarakat agar saling menghormati antara satu sama lain. Setiap orang tidak hanya memikirkan kepentingan diri, tetapi kemaslahatan semua.

            Penghayatan peribahasa ini melahirkan sikap saling bermuafakat. Hal ini akan mewujudkan suasana masyarakat yang aman dan damai kerana masing-masing akan memberikan bantuan kepada individu yang memerlukan.

            Oleh itu, untuk hidup bermasyarakat, peribahasa ini patut dijadikan sebagai pegangan oleh setiap individu. Dengan cara ini, barulah kita dapat hidup dengan penuh sejahtera.

Karangan “Bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing”

Tulis sebuah karangan tentang kesan peribahasa “Bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing” sekiranya diamalkan dalam masyarakat.

Pendahuluan            
 -  Maksud peribahasa – tidak bermuafakat

Isi                   
-  Masyarakat akan kucar-kacir
-  Mementingkan keselesaan sendiri
-  Sikap ini juga berlaku dalam keluarga
-  Negara tidak akan maju

Penutup        
  -  Sikap ini tidak patut diamalkan

 

Contoh Jawapan

 
            Peribahasa “bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing” bermaksud masyarakat yang tidak bermuafakat. Keadaan ini akan menimbulkan pelbagai kesan buruk sekiranya diamalkan dalam masyarakat.

            Masyarakat yang mengamalkan sikap seperti ini akan menjadi kucar-kacir. Mereka akan sentiasa bergaduh sesame sendiri untuk menegakkan kebenaran masing-masing. Keharmonian hidup berjiran pasti tidak akan dikecapi.

            Individu dalam masyarakat ini lebih mementingkan keselesaan diri sendiri. Kita boleh melihat perangai mereka seperti membuang sampah sarap ke rumah jiran atau memasang televisyen dengan kuat sehingga mengganggu jiran tetangga.

            Keadaan ini juga boleh berlaku dalam keluarga. Ahli keluarga yang tidak mengambil tahu antara satu sama lain, malah hanya suka berbalah juga boleh diumpamakan seperti peribahasa ini.

            Negara juga tidak akan maju sekiranya rakyat tidak bekerjasama. Sikap ini akan menular ke seluruh dunia. Oleh itu, sebuah Negara yang tidak akan aman akan wujud.

            Kesimpulannya, sikap seperti ini tidak patut diamalkan oleh sesiapa pun. Hal ini kerana, sebagai anggota masyarakat kita perlu saling bekerjasama demi menjamin kemakmuran Negara.

Karangan “Belakang parang pun jikalau diasah nescaya tajam”

Tulis sebuah cerita tentang peribahasa “Belakang parang pun jikalau diasah nescaya tajam”

Pendahuluan            
-  Maksud peribahasa

Isi                   
 -  Contoh peribahasa
 -  Contoh cerita
 -  Hadi seorang budak yang bodoh
 -  Sedar akan segala-galanya terletak dalam tangannya

Penutup         
 -  Usaha berhasil

 

Contoh Jawapan

 
            “Belakang parang pun jikalau diasah nescaya tajam” membawa maksud sesuatu yang susah itu jika diusahakan berkali-kali dengan tekun akan berjaya juga.

            Oleh hal yang demikian, peribahasa ini juga membawa maksud seseorang yang lembab otaknya jika rajin berusaha akan berjaya juga. Oleh itu, adalah wajar jika kita berusaha dengan bersungguh-sungguh demi menghadapi sebarang halangan.

            Hadi seorang budak yang bodoh. Dia sering diketawakan oleh kawan-kawannya. Ada kalanya guru memarahinya. Hadi selalu berasa sedih.

            Pada suatu hari, Hadi sedar bahawa segala-galanya terletak dalam tangannya. Dia mula berusaha dengan bersungguh-sungguh tanpa jemu.

            Setiap hari dia akan menelaah buku-buku pelajarannya. Dia berusaha untuk menghadiri kursus tentang teknik belajar dan motivasi untuk meluaskan lagi pengetahuannya.

            Usaha Hadi membuahkan hasil. Kedudukan dan peratus keputusan peperiksaannya meningkat dengan ketara sekali. Kini dia tergolong dalam golongan murid yang pandai. Begitulah kata pepatah, “belakang parang pun jikalau diasah nescaya tajam”.

Tuesday, 2 October 2012

Panduan menulis karangan peribahasa


1.      Karangan jenis ini memerlukan murid-murid mengetahui maksud peribahasa yang ditanya

2.      Karangan ditulis dalam bentuk cerita yang menerangkan maksud peribahasa tersebut.

3.      Penggunaan bahasa yang sesuai boleh digunakan untuk menguatkan lagi penyampaian cerita.